HUKUM BERSALAMAN DENGAN WANITA
SOALAN:
Apa hukum seorang lelaki Muslim bersentuh kulit atau bersalaman dengan wanita yang bukan mahramnya.
Saya melihat salah seorang ustaz di kaca TV bersalaman dengan seorang pengacara perempuan. Apa pendapat Dr. mengenai hukum bersalaman ini, harus atau haram. : AZMI, KL.
JAWAPAN oleh Dr. Abdul Hayei Bin Abdul Sukor – Akademi Pengajian Islam
Dengan terus terang saya nyatakan di sini, soalan saudara lebih merupakan soalan peperiksaan objektif, yang meminta supaya menandakan sahaja jawapan pada dua kotak yang disediakan, sama ada ya atau tidak.
Soalan di atas tidak boleh dijawab secara objektif, kerana bersalaman dengan wanita mahram itu ada yang halal dan ada yang haram. Saya akan nyatakan kemudian.
Saudara membuat suatu tanggapan yang tidak tepat apabila mengukur baik dan buruk dengan amalan seorang ustaz yang anda saksikannya di kaca TV.
Saudara tidak disuruh mencontohi ustaz itu, tetapi contohilah nabi. Ustaz tidak kebal daripada dosa sekebal malaikat, ia manusia biasa, kadang-kadang terpaksa bergelut dengan syaitan, lalu ia kalah, mungkin kerana syaitannya lebih besar daripada syaitan yang pernah bergelut dengan manusia biasa.
Dua masalah
Sebelum membincangkan hukum bersalaman dengan wanita mahram ada dua masalah yang telah diputuskan dan disepakati ulama. Jarak antara dua masalah ini agak jauh, sejauh jarak antara A dan Z yang dipisah oleh beberapa huruf abjad. Sebahagiannya memihak kepada A manakala sebahagian yang lain pula kepada Z.
Dua masalah yang saya maksudkan ialah:
Pertama: Haram bersalaman dengan mana-mana wanita, sama ada mahram atau bukan mahram, jika disertai kebangkitan nafsu sama ada oleh kedua-dua atau salah satu pihak, atau dibimbangi berlaku fitnah pada salam-salaman itu.
Lapik atau tidak bukan ukurannya disini, kerana apabila ertinya pihak pertemuan antara dua tapak tangan, jika pertemuan antara mata, hati dan suara telah mendahului.
Saya katakan nafsu dan fitnah yang beriringan salaman itu menentukan haram halalnya. Kadang-kadang hubungan antara bapa tiri dengan anak tiri, ibu mentua yang hampir sebaya umur, antara adik-beradik sesusu pun pernah menggegarkan nafsu.
Atas prinsip ini, bersalaman sesama lelaki pun haram juga, jika ada nafsu yang tidak normal terhadapnya. Kejadian-kejadian seks di luar tabii pada saya merupakan sebaik-baik contoh. (Nafsu sebagai penentu hukum, sila lihat al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar 4/155).
Kedua: Harus bersalaman dengan wanita tua atau budak perempuan kecil yang tiada keinginan nafsu lagi terhadapnya, kerana tidak timbul fitnah di sebalik salam-salaman itu.
Demikian juga hukum bersalaman antara lelaki dan wanita yang sama-sama tua dan telah melepasi usia nafsu atau keinginan seks.
Mereka harus bersalaman, kerana tidak ada apa yang dibimbangi terhadap mereka. Ada riwayat menyebutkan, Abu Bakar r.a pernah bersalaman dengan seorang wanita tua. Demikian juga dengan Abdullah Ibn al-Zubair yang pernah memberi upah seorang tua untuk memicit kepalanya ketika beliau sakit (Lihat sumber terdahulu, halaman 155-156).
Bagi memperkukuhkan keharusan bersalam-salaman dengan wanita tua, kerana ketiadaan nafsu. Sila lihat ayat 60 dalam surah al-Nur yang menyatakan hukum al-Qawa’id min al-Nisa. (Wanita tua yang telah putus haid). Mereka dikecualikan pada menutup bahagian-bahagian badan yang wajib ditutup oleh wanita-wanita muda yang belum putus haid.
Begitu juga dengan ayat 31 surah al-Nur yang mengecualikan kanak-kanak lelaki yang belum berkeinginan terhadap seks, mereka boleh keluar masuk dalam majlis wanita tanpa perlu wanita menutup aurat mereka. Keharusan ini disebabkan tiada fitnah padanya.
Selain dua masalah yang telah diputuskan atau disepakati ulama itu, banyak lagi masalah yang wajar diteliti dengan mendalam. Percambahan fikiran sekitar ada atau tiada fitnah masih boleh dikembangkan oleh para sarjana, supaya hukum tidak terlalu ketat, pada tempat yang boleh dilonggarkan dan tidak terlalu longgar pada tempat yang perlu diperketatkan.
Sebagai contoh, pendapat yang mengatakan wanita hendaklah ditutup seluruh tubuhnya, meliputi muka dan dua tangan. Tidak syak lagi pendapat ini turut mengharamkan bersalam-salaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, kerana tangan yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh lelaki ajnabi, dengan sendirinya haram dipegang, apalagi disentuh kulitnya.
Pendapat yang mengatakan tangan dan muka itu wajib ditutup, bukan pendapat majoriti atau jumhur ulama. Kebanyakan mereka mengharuskan muka dan al-kaffayn (dua tangan) dibuka.
Soalan yang timbul disini ialah, apa alasannya jika dikatakan haram bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, sekalipun tidak disertai nafsu.
Kita boleh terima jika alasannya Sadd al-Zariah (tutup pintu-pintu maksiat), itu pun jika ada tanda-tanda maksiat boleh berlaku, tetapi bagaimana pula jika tanda-tandanya tidak ada? Sebagai contoh, bersalaman dengan sepupu perempuan kita yang baru pulang dari luar negara atau pada hari-hari perjumpaan keluarga.
Ada pendapat mengatakan, nabi tidak pernah bersalaman dengan wanita, sekalipun ketika berbai’ah dengan mereka seperti dalam peristiwa pembukaan Mekah.
Alasan ini dijawab oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai tidak tepat, kerana ada sumber-sumber lain menyatakan bahawa nabi bersalaman dengan mereka. Meskipun Aisyah bermatian-matian menafikannya. (Lihat tafsiran surah al-Mumtahanah dalam Sahih al-Bukhari).
Dalil haram
Ada sesetengah ulama mengemukakan riwayat al-Tabarani daripada Ma’qal Ibn Yasar daripada nabi sebagai dalil haram bersalaman.
Hadis itu bermaksud: Andainya seorang kamu menikam kepalanya (membunuh diri) dengan besi tajam, lebih baik baginya daripada yamassa seorang perempuan yang tidak dihalalkan baginya.
Perkataan yamassa dalam bahasa Arab mempunyai sekurang-kurangnya dua erti, termasuk setubuh dan sentuh kulit dengan kulit. Baginda biasanya tidak selesa menyebut terang-terang perkataan setubuh, sebaliknya menyebut sentuh yang meliputi kegiatan mukadimah persetubuhan. Dengan erti ini, hadis di atas belum cukup alasan bagi golongan yang berpendapat haram, haram bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Selain bahasa, kesahihan hadis di atas juga masih boleh dipersoalkan, walaupun menurut al-Munziri jalan sanad hadis itu. Sahih. Dr. Yusuf al-Qaradawi, yang mempersoalkan kesahihan hadis ini berkata, jika hadis di atas cukup syarat-syarat kesahihannya, mengapa ia tidak diriwayatkan dalam enam sunnah hadis dan mengapa ia tidak popular di kalangan ulama fikah dalam beberapa abad pertama, sedangkan mereka pernah membincang hukum bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan.
Ada riwayat Malik Ibn Anas menyatakan, Nabi s.a.w membiarkan tangannya dimain oleh hamba-hamba perempuan dari Madinah. (Bukhari, kitab al-Adab, fath al-Bari, 13/230).
Dalam riwayat Bukhari dan Muslim juga menyatakan Nabi s.a.w pernah tidur tengah hari di rumah Ummi Haram binti Milhan, kepalanya berbantalkan pangkuan Ummi Haram yang memicitnya. (Fath al-Bari – 13/230 – 231).
Berdasarkan hadis ini, bersalaman dan persentuhan antara kulit lelaki dan perempuan ajnabi diharuskan, seperti yang berlaku antara kedua-dua pihak tidak menyimpan nafsu terhadap satu sama lain dan tidak pula menimbulkan fitnah.
Bersalaman dengan wanita bukan mahram dengan aman tanpa fitnah, bukan sesuatu yang luar biasa bagi manusia biasa dan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti ketika menyambut kepulangan dari luar negara, ketika ziarah keluarga yang terdiri daripada sepupu-sepupu dan sebagainya.
Bagaimanapun sekali lagi perlu diingatkan, bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan hanya diharuskan dengan dua syarat yang sangat mustahak diambil perhatian.
1) Tiada nafsu dan tiada fitnah yang mungkin berlaku pada bersalaman itu. Jika ada fitnah dan nafsu, maka haram bersalaman, sekalipun ibu saudara yang haram dikahwini. Bahkan sesama lelaki juga diharamkan jika ada menyimpan niat kotor di sebaliknya.
2) Keharusan bersalaman itu hanya pada ketika dan dalam suasana tertentu sahaja, ia tidak harus diperluaskan. Sebaik-baiknya bagi seorang Muslim tidak bersalaman dengan wanita yang bukan mahramnya, tidak lebih dahulu menghulur tangan, kecuali apabila dihulur.
Bersalaman dengan wanita, masih merupakan suatu bidang ijtihat yang masih terbuka kepada para ahli, janganlah mudah membuat ulasan, semata-mata kerana kita tidak mempunyai pengetahuan yang cukup padanya.